Ada orang mengatakan alangkah susahnya menjadi perempuan. Banyak benar
kekangan, sedari kecil tidak boleh hidup bebas. Pergerakannya diperhatikan orang
tua. Gerak gerinya menjadi bualan. Hinggalah ada juga yang memberontak jiwanya,
ingin keluar dari kepompong sehinggalah dibuang sifat-sifat kewanitaannya untuk
menyamai lelaki. Yang jauh dari itu mempersoalkan taqdir yang telah ditentukan
oleh Yang Maha Esa. Lalu ia melanggar naluri dan fitrah seorang wanita.
Wanita perlu pula menutup auratnya dengan sempurna. Maklumlah aurat yang
rata-rata difahami hanya sekadar menutup rambut sudah memadai katanya sedangkan
ia jauh dari itu. Tutur katanya juga perlulah dijaga agar tidak timbul perasaan
jahat di hati lelaki.
Hinggalah terbit dari hati "Wahai, sukarnya menjadi
seorang wanita"
Rupanya apabila Islam telah menyebarkan sinarnya pada zaman Jahiliyyah yang
menzalimi wanita dan anak-anak perempuan maka tinggilah martabat kemuliaan
wanita. Sehinggalah di dalam al Quran terdapat surah An Nisa' iaitu surah wanita
dan Islam amat menjaga wanita serta ditunjukkan hak-hak yang perlu diberi kepada
kaum hawa ini.
Wahai wanita, janganlah hendaknya dirimu dibiarkan rosak oleh kaum Adam yang
jahat perangainya, dipergunakan untuk mendapatkan keuntungan. Lihat sahajalah di
setiap iklan di dalam media massa, bukan barangan yang menjadi tontonan. Tetapi
di sebaliknya wanita yang berada di sisinya, maka larislah barangan disebabkan
wanita dipergunakan setiap mahkota yang ada padanya. Alangkah harubirunya dunia
ini apabila pemudinya rosak akhlaknya. Bila tiada kekuatan aqidah dan pendidikan
agama, walau seorang profesional sekalipun tidaklah lepas dari jatuh ke lembah
kehinaan jika tiada cinta kepada ALLAH.
Wanita Kebanggaan Islam
Wanita jika yang dibentuk dirinya dengan acuan yang betul, lahirlah serikandi
Islam sebagaimana Aisyah radiyaLlahu 'anha, lahirlah anak yang taat kepada ibu
dan ayahnya sebagaimana Asma' binti Abu Bakar yang digelar zatun nitaqoin
membawa bekal, memanjat sehingga ke pintu gua untuk memberi bekalan kepada 2
orang kekasih ALLah iaitu ayahnya sendiri Saidina Abu Bakar As Siddiq dan
junjungan besar Nabi Muhammad SallaLLahu 'alaihi wasallam. Alangkah bahagianya
apabila ada pendorong di dalam hidup, pendokong ketika dalam kesusahan dan
kesedihan, menjadi teman seperjalanan menemani hayat sebagaimana Ummul Mukminin
Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Tentunya menjadi ibu kebanggaan para
pencinta Islam sebagaimana Ummu Habibah (gelaran bagi Ramlah binti Abu Sufyan),
walau ditimpa ujian bertalu-talu, dipaksa untuk murtad oleh ayahnya ketika ia
memeluk Islam. Ditambahi pula dengan karenah suaminya yang telah berpaling dari
Islam dengan memeluk agama Kristian, beliau rela berpisah kerana cintanya kepada ALLAH melebihi segala-galanya dan tinggilah darjatnya apabila dilamar oleh
RasuluLlah untuk menjadi teman hidupnya. Balasan untuk orang yang sabar dan
gigih di dalam agama ALLAH.
Jika diselusuri sejarah, ramainya tokoh-tokoh wanita Muslimah yang memberi
sumbangan besar di dalam dunia Islam. Fatimah binti Sa'ad al Khair al Ansari al
Andalusi, lahirnya di China pada tahun 522 Hijrah. Mengajar di Kaherah dan
Damsyiq dan ramai tokoh yang mengambil hadith darinya seperti al Hafiz al
Munziri. Siti Zubaidah, isteri Khalifah Harun al Rasyid telah membelanjakan
sebahagian besar hartanya untuk memperkuatkan kubu pertahanan dan kawasan
sempadan. Jasanya dalam menampungi saluran air yang dibina dari Baghdad
hinggalah ke Mekah untuk jemaah haji sehinggalah saluran air ini dikenali
sebagai "Ain Zubaidah" (Mata Air Zubaidah). Lihatlah perkataannya - apabila
dibentangkan kepadanya kos perbelanjaan saluran itu, beliau telah mencampakkan
bil perbelanjaan itu ke dalam sungai sambil berkata : "Kami tinggalkan
hitungannya untuk Hari Perhitungan". ALLAHU... ALLAH..
No comments:
Post a Comment